Selasa, 12 Februari 2019 | 5:16pm
ASAP masih kelihatan di beberapa kawasan disekitar Gunung Baling kesan kebakaran sejak seminggu lalu. - Foto Ihsan Bomba

Anggota bomba sukar padam sisa kebakaran Gunung Baling

BALING: Cuaca terik dan berangin menyukarkan anggota bomba memadam sisa api dan bara yang masih menyala di Gunung Baling di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba Baling, Mohd Jamil Mat Daud, berkata masih terdapat tiga tompokan api dikesan di kawasan ketinggian kira-kira 200 meter dari kaki bukit.

Katanya, tompokan api itu adalah kawasan kebakaran lama yang sudah dipadamkan sebelum ini, yang dikesan kembali menyala hari ini.

“Malam semalam hanya dua tompok api masih menyala tetapi tengahari tadi kita mengesan satu tompokan lama yang kembali menyala.

“Tompokan api itu terletak berdekatan dan anggota keselamatan memberi tumpuan memadam secara manual di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Mohd Jamil berkata, pihaknya menghadapi kesukaran berikutan ketiadaan air yang dapat memadamkan api dengan cepat.

“Kita sentiasa memantau supaya api tidak merebak ke kawasan lebih besar serta terpaksa membersih ranting kayu sekitar tompokan api.

“Sehingga kini keadaan masih terkawal dan tiada lagi tompokan besar, malah anggota bomba sentiasa berjaga-jaga sekiranya bara api jatuh ke bawah kerana kedudukan rumah penduduk berhampiran dengan lereng gunung berkenaan,” katanya.

144 dibaca
Berita Harian X