Selasa, 12 Februari 2019 | 3:21pm
MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong (kiri) menyampaikan Surat Aku Janji Bantuan Khas Bagi Orang Susah kawasan Kadamaian kepada Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Carlyle Lajimin dalam satu majlis di Kota Kinabalu. - Foto BERNAMA

38 ADUN Sabah terima geran RM3.8 juta bantu orang susah

KOTA KINABALU: Seramai 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti pemerintah di Sabah akan menerima agihan geran berjumlah RM3.8 juta daripada kerajaan negeri untuk membantu golongan susah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata setiap ADUN akan menerima RM100,000 selepas menandatangani Surat Aku Janji sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.

Beliau berkata, setiap agihan akan melalui beberapa prosedur termasuk audit bagi mengelakkan wang berkenaan disalah guna.

“Wang ini disalurkan kepada semua ahli berhormat, tetapi ada garis panduan yang perlu diikuti.

“Jadi, RM100,000 yang diluluskan ini, Yang Berhormat (ADUN) boleh memberi bantuan kepada rakyat dalam kawasan masing-masing,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019 di sini, hari ini.

Wong berkata, pendekatan sama sebenarnya sudah dilaksanakan sejak tahun 2006 oleh kerajaan terdahulu, namun ia tidak diumum secara terbuka seperti kerajaan hari ini.

Katanya, bagi kawasan ADUN Pembangkang, rakyat kawasan berkenaan masih boleh mendapatkan bantuan di pejabat ADUN kerajaan memandangkan peruntukan itu adalah bagi membantu kesemua rakyat Sabah.

Terdahulu, katanya, Bantuan Khas Bagi Orang Susah yang ditetapkan adalah RM200 untuk mangsa bencana, kemalangan, kematian dan terdampar, manakala RM500 bagi kes seperti pesakit kronik dan membaiki rumah akibat bencana alam.

551 dibaca
Berita Harian X