Selasa, 12 Februari 2019 | 2:29pm
NAIB Presiden UPKO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick. - Foto Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Semua komuniti bangsa berhak lantik ketua masyarakat

KOTA KINABALU: Semua komuniti bangsa di Sabah yang sah dalam Perlembagaan negeri berhak mengurus tadbir warisan adat dan budaya menerusi pelantikan ketua adat dan ketua masyarakat.

Naib Presiden UPKO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pelantikan ketua masyarakat daripada kalangan Bumiputera bukan anak negeri dan bukan Bumiputera boleh dilakukan, namun tidak seharusnya diiktiraf sebagai anak negeri.

Katanya, keunikan sejarah peradaban komuniti di negeri ini yang bermula sebelum, semasa dan selepas perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia perlu dihargai.

“Oleh itu, saya anggap Ordinan Intepretasi (Definasi Anak Negeri) Sabah sebagai satu bentuk kontrak sosial yang istimewa dan wajar dipertahankan kerana itulah yang mentakrifkan masyarakat Orang Asal di Sabah, yang diperakukan sebagai anak negeri dalam istilah perundangan di negeri ini.

“Saya berpendirian komuniti Bumiputera anak negeri berhak sepenuhnya terhadap pentadbiran adat dan budaya mereka, termasuk hal ehwal berkaitan Mahkamah Anak Negeri, kerana itulah mahkamah adat buat mereka sebagai Orang Asal,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata seperti komuniti Cina yang mempunyai sistem Ketua Masyarakat Cina atau Kapitan, masyarakat Bugis dan Jawa juga berhak memiliki sistem ketua masyarakat mereka yang boleh dipanggil sebagai Ketua Masyarakat Bugis dan Ketua Masyarakat Jawa.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan atas nama sebagai Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri kerana berpendapat mereka sebagai Orang Asal di negara jiran dan tidak termasuk sebagai Orang Asal atau anak negeri Sabah.

“Jika Ordinan Intepretasi (Definisi Anak Negeri) Sabah mahu diperkasakan, ia perlu berpandukan terhadap Hasil Laporan Jawatankuasa Kajian Etnik Sabah 2008.

“Saya pasti perkara ini akan dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok. Saya akan mengambil bahagian dalam perbincangan berdasarkan pendirian saya,” katanya.

Ewon berharap rakyat di negeri ini terus hidup harmoni dan bekerjasama biarpun terbahagi kepada komuniti Bumiputera anak negeri, Bumiputera bukan anak negeri atau bukan Bumiputera.

165 dibaca
Berita Harian X