Selasa, 12 Februari 2019 | 11:17am
AWANG Abu Bakar bersama isteri, Rokiah Selut menunjukkan parang, keris dan pisau yang dihasilkan menggunakan tanduk rusa, tulang rusa, rahang buaya dan kaki kambing di kediaman mereka di Kampung Semarang, Pusa, Saratok. - Foto NSTP/Norsyazwani Nasri

Guna tulang rusa, rahang buaya buat keris

PUSA: Cukup unik apabila parang panjang, pisau dan keris dihasilkan dari tanduk serta tulang rusa, selain rahang buaya.

Itu keistimewaan hasil kerja tangan Awang Abu Bakar Awang Talip, 60, yang berasal dari Kampung Semarang, di sini.

Katanya, sudah hampir tiga tahun beliau menceburi pembuatan parang, pisau dan keris yang menjadi sumber pendapatan sampingannya.

“Ini hanya untuk mengisi masa terluang dan didorong rasa minat terhadap seni pertukangan. Tidak sangka pula ia mendapat sambutan luar dugaan.

“Elemen haiwan ini memberi nilai tambah produk kraftangan yang dihasilkan, malah ia mendapat tumpuan kerana keunikannya,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau yang juga pemburu rusa dan pengembala kambing memikirkan cara alternatif menghasilkan sarung dan hulu parang, pisau dan keris menggunakan tulang binatang buruannya daripada dibuang begitu sahaja.

“Tulang binatang ini perlu dijemur sehingga kering dan diawetkan untuk menghilangkan bau sebelum disambung menggunakan gam.

“Ini perlu dilakukan secara teliti untuk memastikan hasil kerja yang cukup kemas dan menarik, malah motif dihasilkan kebanyakannya untuk perhiasan,” katanya.

Katanya, kerja-kerja membuat parang, keris dan pisau itu dilakukan dengan bantuan anak-anak yang turut menunjukkan minat dalam pembuatan seni itu.

“Kita menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecilan dan idea untuk menghasilkan motif yang menarik juga banyak dibantu anak-anak.

“Setakat ini beribu jenis parang, pisau dan keris telah berjaya kami hasilkan yang memberi banyak pilihan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, penduduk setempat memang mengetahui kualiti penghasilan parang, keris dan pisau hasil kerja tangannya.

“Malah, ada juga tempahan diterima dari Perak, Sabah dan Johor. Saya tidak menetapkan harga jualan dan bergantung kepada pembeli.

“Setakat ini harga tertinggi yang pernah ditawarkan ialah RM 700 bagi parang dan sekitar RM 50 bagi pisau dan keris,” katanya.

Berita Harian X