Isnin, 11 Februari 2019 | 8:45pm
Video tular di media sosial menunjukkan Minah (bukan nama sebenar), 67.

Ibu merintih rindukan anak

JOHOR BAHRU: “Kalau sayangkan mak, ambillah mak. Mak tak nak duduk sini, biarlah mak tinggal dengan kamu semua,” kata Minah (bukan nama sebenar), 67, merayu supaya ada antara tujuh anaknya datang menjemput dia di pusat jagaan orang tua didiaminya dekat bandar raya ini dan membawanya pulang.

Kenyataan warga emas menerusi rakaman video berdurasi 32 saat itu menjadi viral selepas dimuat naik pembaca di laman sosial yang memperlihatkan keadaan Minah merindui tujuh anaknya berusia 30-an hingga 50-an hasil daripada tiga perkahwinan terdahulu.

Minah yang tinggal di pusat jagaan orang tua di bandar raya ini, berharap bantuan orang ramai akan memudahkan lagi dirinya untuk berhimpun semula dengan semua anaknya termasuk 13 cucu.

BH menemui Minah di pusat jagaan orang tua berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan cerita di sebalik video yang tular di laman sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Dia yang sebelum ini ditempatkan di pusat jagaan orang tua di Melaka, dipindahkan ke Johor yang menyebabkan terputus hubungan dengan saudara dan kenalan terdekat, selain khuatir anaknya tidak tahu lokasi terkini dia berada.

“Anak makcik ada tujuh orang dan sudah terlampau lama tak berjumpa mereka, makcik sangat rindukan anak, tak tahu nak bayangkan wajah mereka sebab lama sangat tidak jumpa.

“Sekarang makcik sakit dan mahu tinggal dengan anak. Makcik akan tunggu anak jemput keluar dari sini.

“Makcik tidak boleh jalan dan hanya berkerusi roda. Selagi usia panjang, makcik berdoa pada Allah, semoga dimudahkan urusan dan dapat bertemu kembali dengan anak,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Minah yang sering mengalami kebas kaki itu berkata, beliau berhajat memasak makanan kegemaran anak dan cucunya.

“Jika bertemu semula dengan semua anak, perkara pertama makcik nak buat ialah memasak makanan mereka suka iaitu sagu rumbia,” katanya.

Walaupun Minah terputus hubungan lebih tiga tahun dengan anaknya, beliau masih mengingati anak sulungnya bekerja sebagai guru di Melaka.

“Anak kembar makcik iaitu lelaki dan perempuan tinggal di Pasir Gudang, manakala dua lagi anak perempuan bekerja di Singapura.

“Dua anak yang terakhir adalah lelaki yang kini menetap di Batam, Indonesia hasil perkahwinan makcik dengan warga Indonesia,” katanya.

1753 dibaca
Berita Harian X