Isnin, 11 Februari 2019 | 6:35pm
QOBIN (dua dari kiri) bertemu Pakli (kanan) ketika menyampaikan bantuan kepada Nuraina (berkerusi roda) di Kompleks PKNS, Shah Alam, hari ini. - Foto Ihsan pembaca

Qobin bantu anak Pakli seumur hidup

SHAH ALAM: Pendaki dan penjelajah negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin hari ini menyampaikan bantuan wang tunai kepada Nuraina Syafiqah Razali yang mengalami penyakit Cerebral Palsy sejak kecil.

Bantuan tahunan untuk Nuraina, 22, itu diterima bapanya, Razali Sahran atau lebih dikenali sebagai Pakli di Kompleks PKNS, di sini.

Muhamad Muqharabbin atau Qobin berkata, beliau terdetik ingin meringankan beban Pakli yang bekerja sebagai pemandu teksi selepas membaca posting Pakli di Facebook dan ditularkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tiada niat apa-apa. Sekadar punya perasaan ingin membantu dan ringankan beban Pakli. Hasrat ini hadir secara spontan dalam diri saya dan ini adalah nazar serta dana peribadi saya sendiri.

“Saya akan menyumbang setiap tahun kepada anak Pakli sampai saya mati kerana Allah,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai dan EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri.

Qobin berkata, beliau berhasrat untuk membantu orang lain tanpa mengira bangsa dan fahaman politik jika terus dimurahkan rezeki kerana beliau suka membantu.

Sementara itu, Mohd Dendera turut mengucapkan terima kasih kepada Qobin atas niat dan sumbangan beliau kepada keluarga Pakli.

“Beliau telah menyumbangkan dana untuk Pakli bagi tahun ini dan tahun depan. Saya akan mengingatkan Qobin setiap masa mengenai bantuan ini,” katanya.

451 dibaca
Berita Harian X