Isnin, 11 Februari 2019 | 1:09pm
Wan Junaidi pada majlis penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) di Pusat Khidmat Parlimen Santubong. - Ihsan FB Wan Junaidi

Kuatkuasakan peraturan baharu jamin kesejahteraan Telok Melano - Wan Junaidi

KUCHING: Satu peraturan baru akan dikuatkuasakan di Telok Melano bagi memastikan kawasan itu selamat dan bersih untuk pengunjung serta penduduk di kampung terakhir di penghujung sebelah barat daya Sarawak itu.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata setakat ini kawasan pantai yang terletak bersebelahan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia itu belum lagi mempunyai perundangan yang khusus berkaitan perkara itu.

“Selepas pelancaran jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Telok Melano dengan Sematan, saya melihat kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja masyarakat kita tetapi juga rakyat dari negara jiran, Indonesia.

“Malah, ada di kalangan mereka berniaga di situ tanpa lesen dan keadaan ini harus kita cegah kerana kita tidak mahu rakyat kita sendiri yang rugi terutamanya penduduk di Telok Melano dalam menikmati pembangunan yang disediakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) di Pusat Khidmat Parlimen Santubong, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, dengan adanya peraturan baharu itu nanti, mereka yang ingin berniaga di kawasan tersebut perlu mendapatkan lesen daripada Majlis Daerah Lundu (MDL).

“Jika rakyat Indonesia yang mahu berniaga di Telok Melano, mereka juga perlu mendapatkan lesen dengan kadar lebih tinggi dari peniaga tempatan dan masuk secara sah iaitu melalui pemeriksaan imigresen ke negeri ini dan bukan menggunakan jalan tikus.

“Mereka berniaga di tempat kita dan membawa balik keuntungan yang diperolehi di sini tetapi kita pula yang terpaksa mengutip sampah yang ditinggalkan oleh mereka,” katanya.

Katanya, jika perkara itu tidak dicegah lebih awal, tidak mustahil pantai di Telok Melano akan menjadi lebih kotor berikutan sikap orang ramai dan peniaga yang mengabaikan aspek kebersihan.

“Satu mesyuarat akan diadakan bersama semua agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan peraturan baharu, keselamatan dan kebersihan kawasan Telok Melano.

“Peraturan baharu itu nanti mungkin akan mengambil contoh pendekatan yang dilaksanakan di Langkawi,” katanya.

73 dibaca
Berita Harian X