Ahad, 10 Februari 2019 | 3:16pm
Nazri melihat hasil kraftangan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Jerantut. - NSTP/Roselan Ab Malek

Kerajaan Pahang pergiat kutip cukai tanah

JERANTUT: Sebanyak RM24 juta hasil cukai tanah bagi tahun 2018 dikutip kerajaan Pahang sehingga Januari lalu, berbanding RM18 juta bagi tempoh sama tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, peningkatan kutipan hasil itu adalah hasil tindakan tegas dikenakan terhadap individu dan syarikat yang gagal melunaskan bayaran tunggakan cukai mereka sepanjang tahun lalu.

“Selain tindakan tegas, kita lebih suka kalau rakyat di Pahang menyedari secara sukarela terhadap tanggungjawab mereka membayar cukai.

“Kalau boleh, tidak perlulah sampai kena ambil tindakan tegas, biarlah bayar secara sukarela.

“Memang kita dapati ada peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan kerajaan Pahang berharap, ia (kesedaran) akan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Daerah Jerantut, di sini, hari ini.

Nazri berkata, Jawatankuasa Penilaian Hasil Negeri sebelum ini melaporkan sebanyak RM63.4 juta tunggakan cukai tanah belum dilangsaikan individu dan syarikat di Pahang, termasuk membabitkan tunggakan yang tidak dibayar lebih daripada 10 tahun.

Katanya, pejabat tanah mempunyai kuasa mengeluarkan notis tuntutan berdasarkan Seksyen 97 Kanun Tanah Negara dan memberikan Notis 8A kepada pemilik yang gagal melunaskan tunggakan cukai.

“Notis 8A ini adalah untuk memaklumkan kepada pemilik bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk merampas tanah mereka.

“Kita juga akan mengambil tindakan terhadap 141 syarikat besar yang mempunyai tunggakan cukai melebihi RM10,000 dengan nilai anggaran kutipan yang kerajaan negeri bakal perolehi melalui tindakan ini berjumlah RM22.6 juta,” katanya.

Berita Harian X