Sabtu, 9 Februari 2019 | 5:03pm
Helikopter MI16 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran hutan di Gunung Baling semalam. - NSTP/Safuri Kamarudin

Kebakaran hutan Gunung Baling terkawal

BALING: Usaha memadam kebakaran hutan Gunung Baling masih diteruskan hari ini, termasuk menggunakan kira-kira 10,500 liter air yang diangkut menggunakan helikopter.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hafiz Suhaimi, berkata pihaknya masih meneruskan operasi memadam membabitkan kawasan seluas kira-kira 700 meter persegi.

Katanya, kebakaran hutan berkenaan masih dalam keadaan terkawal selepas pihaknya berjaya memadam tompokan api melalui semburan udara pagi tadi.

“Operasi yang masuk hari keempat hari ini membabitkan 85 anggota keselamatan terdiri daripada anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Jabatan Hutan.

“Tompokan api kini berada pada ketinggian 200 meter dari kaki gunung dan kita berjaya mengawal api dari merebak ke kaki gunung,” katanya.

Terdahulu, beliau memberi taklimat kepada Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, yang melawat Pusat Kawalan Bomba (PKB) petang ini.

Mohd Hafiz berkata anggota keselamatan berhadapan cabaran bagi memadam api berikutan bentuk muka bumi berbatu kapur dan curam di kawasan hutan yang terbakar.

“Berikutan itu, kita masih menggunakan kaedah manual dengan cara memukul api bagi memadamkannya dan mengawal api daripada merebak.

“Operasi hari ini dijangka tamat pada jam 7 malam dan disambung semula pagi esok,” katanya.

177 dibaca
Berita Harian X