Rabu, 6 Februari 2019 | 3:44pm
DATIN Jamaliah Ja’afar bersama anaknya, Amir Redza dan Syura Natalia menunjukkan masakan yang dihidangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika mengunjungi Umai Cafe. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kenangan indah kunjungan Agong, Permaisuri ke restoran

PUTRAJAYA: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke restoran Umai Cafe di sini, Ahad lalu memberi kenangan paling indah dan bermakna kepada pemilik restoran berkenaan, Datin Jamaliah Ja’afar.

Lawatan itu bukan saja secara mengejut, malah pasangan diraja yang berangkat dalam keadaan santai itu menggemari sajian disediakan, selain berkenan meluangkan masa menyapa pelanggan yang berada di situ.

Jamaliah, 64, berkata anaknya, Amir Redza, 37, menerima panggilan telefon daripada pegawai istana kira-kira jam 2 petang yang memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan berangkat untuk santap pada jam 5 petang.

“Saya terkejut dengan perkhabaran itu dan tidak berada di restoran kerana menghadiri majlis kenduri di Kedah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kehadiran pasangan diraja itu bersama dua anakanda, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Iman Afzan, dilayan oleh Amir dan kakaknya, Syura Natalia, 38.

Sementara itu, Amir yang teruja dengan kehadiran pasangan diraja itu, mengagumi sikap mesra Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Baginda meminta saya mencadangkan makanan ringan untuk minum petang di restoran kami, jadi saya sarankan makanan tradisional istimewa Umai Cafe iaitu lempeng pisang, lempeng kelapa dan cucur udang.

“Baginda turut memesan roti jala dan nasi lemak, selain minuman teh tarik, sirap bandung dan teh-o ais limau.

“Baginda berdua bersama anakanda turut berkongsi makanan seperti mana kelaziman keluarga lain dan makan dalam keadaan santai sambil berbual.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengunjungi meja pelanggan dan menyapa mereka sementara menunggu hidangan tiba,” katanya.

Awalnya, Amir mengakui agak bimbang jika makanan dihidang di restoran yang dibuka sejak lapan tahun lalu itu tidak memuaskan hati keluarga diraja berkenaan, lebih-lebih lagi Tunku Azizah dikenali sebagai seorang yang pandai memasak dan sering memasak untuk rakyat ketika menghadiri program rakyat.

“Bagaimanapun, baginda berdua memuji makanan yang dihidangkan, malah bertanya lanjut mengenai operasi restoran kami, makanan untuk sarapan dan sama ada kami beroperasi pada Ramadan,” katanya.

Amir berkata, Al-Sultan Abdullah dan keluarga yang meluangkan masa kira-kira sejam di restoran berkenaan.

Katanya, baginda cukup merendah diri dan berjiwa rakyat.

“Baginda memandu sendiri ke restoran kami, berbual dengan rakyat tanpa protokol dan mengucapkan terima kasih kepada saya atas layanan diberikan,” katanya.

Selain Al-Sultan Abdullah, restoran berkenaan pernah dikunjungi kenamaan lain sebelum ini termasuk Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang sering berbasikal di sekitar Putrajaya; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain menteri dan pegawai tinggi kerajaan lain.

872 dibaca
Berita Harian X