Sabtu, 2 Februari 2019 | 12:41pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu bersama pegawai-pegawai kerajaan semasa melawat ke tapak projek CENTEX yang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang tahun 2020. - Foto Melvin Joni

Pembangunan DUN Tanjong Datu bakal ditransformasi

LUNDU: Pelaksanaan tiga projek menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) mampu mengubah landskap pembangunan dan sosioekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu, berkata inisiatif itu memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada kawasan pedalaman dan luar bandar tercicir daripada menikmati kemajuan.

Katanya, dua daripada projek berkenaan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana RTP, manakala projek selebihnya dilaksanakan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

“Ini termasuk pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Rambungan di Sempadi bernilai RM500,000 yang dilaksanakan menerusi inisiatif RTP dan dijangka siap tidak lama lagi.

“Satu lagi projek RTP yang sedang dilaksanakan di DUN Tanjong Datu ialah pembinaan jeti terapung dan pontoon di Tebingan Sungai Lundu bernilai RM350,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek berkenaan, masing-masing yang dilaksanakan menerusi Program Pelaksanaan Projek RMKe-11 Peruntukan Negeri dan RTP Bahagian Kuching, di sini, hari ini.

Jamilah berkata, pembinaan jeti dan pontoon itu boleh digunakan untuk kegunaan bot dan perahu nelayan setempat berlabuh.

Malah, katanya, ia juga mampu memberi manfaat dalam konteks pelancongan, khususnya dalam menarik kaki pancing ke Tanjong Datu.

“Kawasan DUN Tanjong Datu sememangnya dikenali sebagai lubuk ikan yang menjadi tumpuan kaki pancing,” katanya.

Katanya, turut giat dilaksanakan ketika ini ialah pembinaan Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX) Lundu bernilai RM90 juta yang dijangka siap tahun depan.

Jamilah berkata, projek itu cukup istimewa baginya kerana ia diilhamkan oleh suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, ketika hayatnya dan memimpin kerajaan negeri.

“Ia sebahagian daripada ‘hadiah’ Tok Nan kepada ‘Anak Sarawak’, terutama dalam kalangan anak penduduk setempat untuk mendapatkan peluang menyambung pengajian, terutama dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.

47 dibaca
Berita Harian X