Rabu, 30 Januari 2019 | 1:32pm
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Nor Hisham Mohamad bergambar bersama anggota bomba pada majlis Perbarisan Tahunan Bagi 2019 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pasukan khas pantau kawasan kegiatan air sempena musim perayaan

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang mewujudkan pasukan khas untuk memantau secara berkala 69 pantai, air terjun dan tasik yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohamad, berkata pihaknya menyedari trend orang ramai untuk berkelah bersama keluarga dan rakan untuk melakukan kegiatan air di kawasan terbabit sempena cuti perayaan itu.

“Ia mungkin mendedahkan kepada risiko kejadian lemas dan bermula 1 sehingga 10 Februari ini, kita membentuk pasukan khas di setiap balai dan dua anggota akan membuat pemantauan berkala di kawasan.

“Mereka akan menasihatkan pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti air sekiranya hujan atau wujud sebarang situasi yang mengancam keselamatan orang ramai,” katanya pada sidang media selepas majlis Perbarisan Tahunan Bagi 2019 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, perkara paling dibimbangi yang boleh mengancam keselamatan orang ramai ketika melakukan aktiviti air adalah fenomena kepala air.

“Ini kerana banyak kejadian lemas berlaku disebabkan fenomena kepala air, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan memantau perisian ‘accuweather’ untuk melihat ramalan kaji cuaca.

“Kita akan memberi nasihat kepada pengunjung untuk tidak mengunjungi kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air, kita akan bekerjasama dengan polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi tujuan itu,” katanya.

Berhubung perkara berasingan, Nor Hisham berkata, pihaknya berjaya membantu mengurangkan jumlah kerugian akibat kejadian kebakaran pada tahun lalu menerusi kemudahan lebih baik dan terkini dan kewujudan balai bomba baharu.

“Pada 2018, kita berjaya menyelamatkan RM10.83 bagi setiap RM1 kerugian dicatatkan, ia meningkat kira-kira RM1.30 berbanding RM9.57 bagi setiap RM1 kerugian direkodkan akibat kejadian kebakaran.

“Ia satu perkembangan positif yang diharapkan dapat diteruskan pada tahun ini bagi mengelakkan kerugian lebih besar di kalangan orang ramai,” katanya.

143 dibaca
Berita Harian X