Rabu, 30 Januari 2019 | 12:27pm
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan sidang media selepas merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat negeri Terengganu di Kemaman. - Foto Rosli Ilham

Terengganu tambah Pusat Pengajian Al-Quran Braille

CHUKAI: Kerajaan Terengganu bakal menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pusat pengajian itu akan dibina masing-masing di Besut dan Kemaman.

Katanya, persiapan untuk melaksanakan projek itu kini dalam proses terakhir sebelum pembinaan kedua-dua pusat terbabit dilakukan.

Setakat ini, beliau berkata, sebuah pusat itu yang ditubuhkan pada 2007, beroperasi di Kuala Nerus bawah kendalian Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu.

“Dua lagi pusat itu dibina bagi memberi peluang dan kemudahan luas kepada golongan cacat penglihatan mengikuti pengajian al-Quran.

“Mereka tidak perlu datang ke Kuala Nerus yang memerlukan perbelanjaan pengangkutan dan penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Terengganu yang disertai 16 qari dan qariah di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Terengganu berhasrat mewujudkan pusat pengajian itu di setiap daerah negeri ini supaya golongan berkenaan tidak perlu pergi jauh untuk mendalami al-Quran.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan PERTIS dan diharap pusat pengajian itu segera dibina sebelum kita melantik tenaga pengajar, “katanya.

63 dibaca
Berita Harian X