Selasa, 29 Januari 2019 | 2:13pm
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hadir pada istiadat pemasyhuran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang, dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pikul tanggungjawab dengan amanah, ketakwaan - Al-Sultan Abdullah

PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, berpesan supaya Tengku Mahkota Pahang yang baharu memikul tanggungjawab dengan amanah dan ketakwaan.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bukan sahaja mewarisi takhta Kerajaan Pahang tetapi turut memikul tanggungjawab memelihara dan mempertahankan legasi Kesultanan Melayu Pahang.

“Ambillah pengajaran Melayu lama yang berbunyi ‘umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga’ yang bermakna sekiranya berbuat baik, paduka anakanda akan tetap dimuliakan walau di mana sekalipun.

“Setiap sesuatu kurniaan di muka bumi ini pasti datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung. Oleh itu, laksanakannya dengan penuh ketakwaan dan jangan sekali-kali bersikap riak serta angkuh,” titah baginda.

Pada istiadat sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang yang kelima dalam Kesultanan Pahang era moden.

Al-Sultan Abdullah turut menyatakan penghargaan kepada Tunku Azizah yang sentiasa menyokong dan berada di samping baginda.

“Paduka adinda diibarat permata indah laksana bidadari di dunia dan permaisuri di jannah, justeru teruslah berbakti serta menerangi rakyat jelata di setiap pelosok negeri,” titah baginda.

Istiadat hari ini bermula pada jam 11 pagi dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sedondon memakai persalinan berwarna putih gading, berangkat masuk ke dalam Balairung Seri Istana Abu Bakar.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang berikutan Al-Sultan Abdullah akan memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini.

1732 dibaca
Berita Harian X