Selasa, 29 Januari 2019 | 1:37pm
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hadir pada istiadat pemasyhuran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang, dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pahang tetap dekat di hati - Al-Sultan Abdullah

PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bertitah walaupun akan berada jauh dari mata, negeri ini tetap dekat di hati baginda.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa kembali jika berkesempatan bagi membolehkan ikatan keakraban dan kasih saya kepada rakyat jelata terus terjalin,” titah baginda yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa Khamis ini.

Baginda bertitah demikian pada istiadat pemasyhuran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang, dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.

Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 Januari lalu.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas bersemayam di Istana Negara sejak 13 Disember 2016.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah ketentuan Allah SWT dan selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu yang membuat keputusan pada 24 Januari lalu.

“Saya akan berangkat meninggalkan negeri yang saya sayangi ini untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

“Terasa begitu pantas masa berlalu sehingga saya tiada masa berkesempatan menziarahi setiap pelosok negeri ini untuk bersama dengan rakyat jelata yang tidak putus-putus merakamkan ucapan tahniah serta mendoakan saya.

“Justeru, izinkan saya mengambil kesempatan ini bagi merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), kerajaan negeri dan seluruh rakyat jelata atas kesetiaan serta doa kepada saya selama ini,” titah baginda.

1530 dibaca
Berita Harian X