Isnin, 28 Januari 2019 | 9:00pm
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. - Foto FB The Royal Johore

Sultan Johor kurnia 100,000 pound untuk dana Dermasiswa Sultan Ibrahim Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bernilai 100,000 pound (RM542,000) kepada dana Dermasiswa Sultan Ibrahim Johor.

Dana itu bertujuan membantu pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara dan akan diuruskan menerusi Bantuan Inisiatif Dana Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA).

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah Sultan Johor amat prihatin dengan beban kewangan dihadapi pelajar Malaysia di luar negara.

“Disember lalu, ketika berangkat ke London, baginda (Sultan Ibrahim) berkenan menemui sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian mereka di United Kingdom.

“Ini adalah kali kedua Sultan Ibrahim membantu pelajar Malaysia di luar negara menerusi Dermasiswa Sultan Ibrahim Johor,” titahnya kepada Royal Press Office.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Zarith Sofiah Negeri Johor selama hampir sejam di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah bertitah, pemilihan penerima serta jumlah bantuan akan diperhalusi yayasan berkenaan.

913 dibaca
Berita Harian X