Sabtu, 26 Januari 2019 | 10:10am
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengundi di SK Tanjung Gahai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078 Cameron Highlands. - Foto Farizul Hafiz Awang

MB mengundi di SK Tanjung Gahai

LIPIS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, dekat sini, pada jam 8.40 pagi tadi bagi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai sejak empat penggal lalu, ditemani isterinya, Datin Seri Burhah Mohamed yang turut mengundi di sekolah sama.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar kawasan SK Gahai, Wan Rosdy berkata, beliau puas hati dengan perjalanan proses pengundian yang dijalankan di sekolah berkenaan.

"Cuaca pagi ini pun baik dan saya harap ramai pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

"Saya percaya calon Barisan Nasional (BN) boleh memenangi PRK Cameron Highlands dan mempertahankan kerusi Parlimen ini...apa saja keputusan, kita (BN) akan terima dengan hati terbuka," katanya.

Calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib, pula sudah selesai mengundi di SK Sungai Koyan 1, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Seramai 32,008 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK Cameron Highlands hari ini di 29 pusat mengundi dengan 17 di Tanah Rata dan 12 lagi di Jelai.

Semua pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi tadi dan ditutup antara jam 2 petang dan 5.30 petang nanti.

Berita Harian X