Jumaat, 25 Januari 2019 | 4:43pm
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah bersalaman dengan para jemaah yang hadir ketika menunaikan solat jumaat di Masjid Baru Daerah Temerloh. Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dipilih sebagai Yang di Pertuan Agong ke 16 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2018. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Al Sultan Abdullah tunai solat Jumaat dengan 3,000 jemaah

TEMERLOH: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh, di sini, hari ini.

Turut berangkat, isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda yang lengkap berbaju Melayu biru muda serta bersongket tiba pada jam 1.10 tengah hari sebelum menunaikan solat sunat.

Keberangkatan Al Sultan Abdullah disambut anakanda baginda, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; adinda baginda, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Kira-kira 3,000 jemaah dari sekitar daerah ini bersama Al Sultan Abdullah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Badrulhisham Mohamad Zaki.

Baginda kemudian turut menunaikan solat Hajat secara berjemaah bagi memohon keberkatan dalam pemerintahan baginda serta kesejahteraan ke atas bumi Pahang serta bacaan Tahlil.

Al Sultan Abdullah semalam, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara.

Berita Harian X