Rabu, 23 Januari 2019 | 3:57pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media di pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya

Kerajaan Perak sedia beri tanah untuk bina rumah mampu milik

IPOH: Kerajaan Perak sentiasa bersedia untuk beri kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan untuk penyediaan tanah yang sesuai bagi pembinaan perumahan mampu milik di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya juga akan memperhebatkan lagi kerjasama dalam pelbagai isu membabitkan perumahan mampu milik, sekali gus diharap dapat mengurangkan kos pemaju perumahan swasta.

Katanya, pengurangan kos kepada pemaju perumahan itu sudah pasti akan membolehkan rumah yang siap dibina nanti dapat dijual pada harga yang lebih rendah kepada pembeli.

“Kita (kerajaan negeri) sentiasa memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan kos kepada pemaju perumahan supaya mereka dapat menjual rumah pada harga yang lebih rendah kepada pembeli. Ini memang sentiasa kita fikirkan dan cuba kita lakukan kepada semua

“Namun, apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif ini, kita sambut baik dan sentiasa akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata Kerajaan Persekutuan akan membantu pihak pemaju perumahan swasta mengurangkan kos pembinaan rumah mampu milik menerusi rundingan secara langsung dengan kerajaan negeri dan syarikat pembekal utiliti.

Beliau turut memberitahu, KPKT sedang mempertimbangkan dua cadangan baharu bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli dan memiliki kediaman mampu milik khususnya untuk golongan B40 iaitu insentif Top-up Fund dan inisiatif Bina Untuk Sewa.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata apa saja cadangan yang dibuat, pihaknya akan sentiasa bekerjasama kerana apa yang penting ialah manfaat kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

“Apa yang penting akhirnya rumah-rumah dapat kita bekalkan kepada rakyat dengan harga yang berpatutan, seboleh-bolehnya harga yang rendah kepada golongan rakyat memerlukan,” katanya,

138 dibaca
Berita Harian X