Rabu, 23 Januari 2019 | 1:21pm
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khirudin Drahman @Hussaini, memeriksa barisan kawalan kehormat pada Perhimpunan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di Padang Kawad Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Raikan hari lahir di balai bomba

KUCHING: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Sarawak kini boleh dijadikan sebagai lokasi bagi mengadakan majlis sambutan hari lahir, terutama untuk kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, berkata ia antara langkah yang diambil pihaknya untuk mendekati masyarakat dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran.

Menerusi pendekatan itu, katanya, BBP akan dijadikan sebagai pusat pembelajaran dengan semua Ketua Balai diberi kebenaran untuk membuka balai jika mendapat permintaan daripada masyarakat setempat untuk mengadakan program kemasyarakatan, termasuk majlis sambutan hari lahir pada hujung minggu.

“Ketika masyarakat setempat mengadakan program atau majlis, kita akan menyelitkan modul pendidikan keselamatan kebakaran dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.

“Ini penting, terutama bagi kanak-kanak kerana mereka perlu dididik dari awal agar menjadikan langkah keselamatan kebakaran sebagai amalan sepanjang hayat,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Tahunan 2019 JBPM Sarawak di BBP Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Khirudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 22 pengamal media termasuk wartawan NSTP sebagai menghargai sumbangan membantu JBPM menangkis laporan negatif di media sosial terhadap pasukan penyelamat itu.


Wartawan Harian Metro Ekhwan Haque Fazlul Haque menerima Sijil Penghargaan dari Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khirudin Drahman @Hussaini, pada Perhimpunan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di Padang Kawad Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Mengulas lanjut, Khirudin berkata, pendidikan keselamatan kebakaran kini menjadi fokus utama pihaknya dengan program Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (3K) akan diperluaskan ke peringkat sekolah rendah.

Katanya, pihaknya kini akan memberi tumpuan kepada sekolah rendah pula, kerana sebelum ini program itu hanya diadakan di peringkat sekolah menengah manakala di institusi pengajian tinggi pula, Briged Bomba diwujudkan bagi memberi pendedahan mengenai langkah perlu jika berlaku kecemasan.

Selain itu, katanya, tahun ini, pihaknya merancang beberapa program yang mungkin memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia sampai kepada kumpulan sasar, terutama dalam menangani kebakaran rumah panjang.

“Kami akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk kerajaan negeri untuk mengadakan program mendekati masyarakat, khusus bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada perbarisan itu, Khirudin berkata, tahun lalu JBPM Sarawak menerima sebanyak 15,914 panggilan kecemasan dengan 5,807 daripadanya adalah panggilan penyelamatan; panggilan kebakaran (2,388); panggilan khidmat khas (7,703) dan panggilan palsu (16).

“Panggilan kecemasan membabitkan operasi penyelamatan sahaja meningkat sebanyak 698 berbanding 5,109 pada tahun 2017 sekali gus menggusarkan kita,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, seramai 11 mangsa maut dalam kebakaran dengan lapan daripadanya membabitkan mangsa dewasa manakala tiga lagi kanak-kanak.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding sembilan mangsa terkorban dalam kebakaran pada tahun sebelumnya.

“Anggaran kerugian yang dialami mangsa kebakaran tahun lalu pula adalah sebanyak RM77.6 juta, menurun sebanyak RM5.5 juta berbanding RM83.1 juta pada 2017.

“Harta yang diselamatkan tahun lalu pula bernilai RM627 juta iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus atau RM420 juta berbanding sebanyak RM206 juta pada 2017,” katanya.

164 dibaca
Berita Harian X