Jumaat, 18 Januari 2019 | 12:47pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu bersama Ahli GPS menerima bendera di majlis sambutan peserta Konvoi Jelajah Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Suarah Lundu, Lundu. - Foto ihsan GPS

`Jangan derhaka pada Sarawak'

LUNDU: Hanya ‘Anak Sarawak’ berupaya membawa pembangunan negeri ini ke tahap kemajuan lebih baik, sekali gus memberi manfaat kepada rakyatnya bagi jangka panjang.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu mengajak rakyat negeri ini agar bersatu di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan.

“Jangan sesekali kita ‘menderhaka’ pada Sarawak, sebaliknya terus bersatu memperjuangkan kedaulatan negeri ini, terutama dalam menuntut semula segala hak dan keistimewaan dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini negeri kita yang seharusnya ditadbir urus menggunakan acuan sendiri. Jangan sesekali kita membiarkan ‘orang luar’ atau ‘sentimen luar’ cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan peserta Konvoi Jelajah Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Suarah Lundu, di sini, hari ini.


Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu bersama Ahli GPS ketika menyambut peserta Konvoi Jelajah Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Suarah Lundu, Lundu. - Foto ihsan GPS

Jamilah berkata, bermula dari era kepemimpinan suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kerajaan negeri memperjuangkan hak dan kepentingan ‘Anak Sarawak’ yang kini diteruskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

“Hanya ‘Anak Sarawak’ memahami keperluan negeri, malah perjuangan ini sudah diterjemahkan menerusi penubuhan GPS. Justeru, GPS perlu kita sokongan sebagai wadah perjuangan kita,” katanya.

Majlis pelancaran GPS dijadualkan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada jam 7 malam esok dan akan disempurnakan Abang Johari merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pengerusi GPS.

Selain PBB, GPS yang ditubuhkan bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) Sarawak turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS ketika ini menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan 19 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini.

343 dibaca
Berita Harian X