Khamis, 17 Januari 2019 | 3:03pm
LALUAN sepanjang 44 kilometer dari Miri ke pekan Marudi selamat digunakan walaupun beberapa lokasi mengalami banjir kilat dan hakisan tanah, sejak semalam. - Foto ihsan bomba

Laluan Miri-Marudi selamat

MIRI: Laluan sepanjang 44 kilometer dari Miri ke pekan Marudi di wilayah utara negeri ini selamat digunakan walaupun beberapa lokasi mengalami banjir kilat dan hakisan tanah, sejak semalam.

Bagaimanapun, pengguna sama ada ke Miri atau Marudi, diminta berwaspada kerana khuatir berlaku semula tanah runtuh atau banjir kilat apabila hujan lebat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri berkata, ada beberapa lokasi di ladang sawit di laluan itu kerap dilanda banjir kilat.

“Ia berlaku disebabkan kawasan itu rendah dan terdedah kepada laluan air deras apabila hujan lebat tanpa henti untuk beberapa jam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini laluan di situ masih boleh dilalui kenderaan biasa, cuma agak licin apabila hujan.

Katanya, kawasan banjir kilat di Bukit Kolam, Jalan Marudi boleh dilalui kenderaan seperti biasa.

“Kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran rumah panjang di Jalan Marudi sudah dibaiki oleh kontraktor,” katanya.

Sementara itu, penduduk Marudi, Igang Ngau Wan, 45, berkata sistem perparitan yang lebih baik perlu diwujudkan di Jalan Marudi.

“Berdasarkan pengalaman saya, kawasan rendah di ladang kelapa sawit di jalan itu pasti dilanda banjir kilat apabila hujan lebat.

“Jika sistem perparitan baik, masalah banjir kilat pasti akan dapat diatasi tanpa masalah,” katanya.

176 dibaca
Berita Harian X