Khamis, 17 Januari 2019 | 9:54am
Nur Syifa Aulia menghembuskan nafas terakhir di HUSM Kubang Kerian, malam tadi. - Ihsan keluarga

Nur Syifa Aulia meninggal dunia

KOTA BHARU: Bayi perempuan berusia setahun yang menghidap kanser tisu, meninggal dunia pada jam 9.05 malam tadi.

Arwah Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini di sisi ahli keluarganya.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Golok, Bachok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panjang jam 7 pagi ini.

Ibunya, Siti Nur Ashima Makhatar, 29, berkata, dia dan ahli keluarga menerima dengan reda pemergian anak ketiga daripada empat beradik selepas hampir lapan bulan menderita penyakit itu.

Katanya, keadaan kesihatan Nur Syifa semakin merosot selepas badannya semakin lemah dan bernafas dalam keadaan laju sejak Sabtu lalu.

“Dalam keadaan masih berpantang anak keempat, saya bersama suami membawanya ke HUSM untuk rawatan. Ketika itu keadaannya tidak banyak berubah sehinggalah pada jam 3 petang semalam, keadaan jantungnya semakin lemah.

“Pada malam itu, pada jam 9.05 malam, Nur Syifa menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika dihubungi hari ini,

Menurutnya, dia mengakui sudah bersedia dengan pemergian apabila menyedari perubahan ‘pelik’ pada Nur Syifa beberapa hari lalu.

“Saya terkejut melihat mukanya putih berseri dan berbau wangi seperti bayi yang baru dilahirkan. Perkara itu diakui oleh jururawat di sini.

“Alhamdulillah, sebagai ibu saya bersyukur Nur Syifa pun pergi dalam keadaan tenang dan mudah,”katanya.

Katanya, dia berterima kasih sepanjang menjaga Nur Syifa dalam keadaan sarat mengandung, ramai pihak cukup prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

“Selepas berita mengenai penderitaan Nur Syifa dilaporkan di akhbar NSTP ramai pihak tampil membantu meringankan beban dan mendoakan Nur Syifa.

“Terima kasih kepada keluarga, pihak HUSM dan orang ramai yang membantu, hanya tuhan yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan itu disahkan menghidap kanser tisu tahap empat sejak Mei tahun lalu.

Pada mulanya bayi itu diserang demam panas berpanjangan pada April tahun lalu sebelum timbul benjolan di bahagian kiri leher yang dilihat semakin membesar.

Pemeriksaan di HUSM mengesahkan anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan menghidap kanser tisu.

Berita Harian X