Rabu, 16 Januari 2019 | 2:17pm
PENGERUSI KKS, Abdul Halim Hamdian (dua dari kiri) pada sidang media di Tebingan Kuching, hari ini. - Foto Melvin Joni

'Anak Sarawak' perlu tahu hak, kepentingan negeri

KUCHING: Lebih 1,000 ‘Anak Sarawak’ dijangka menyertai Perhimpunan Aman Solidariti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak 2019 yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, di sini, Sabtu ini, bermula jam 3 petang.

Ia dianjurkan Kelab Kesetiaan Sarawak (KKS) dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khusus bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan hak berkenaan kepada negeri ini dan rakyatnya.

Pengerusi KKS, Abdul Halim Hamdian, berkata penganjuran program itu lebih bertujuan menyebarkan kesedaran kepada ‘Anak Sarawak’ mengenai perlembagaan dan sejarah negeri, selain MA63.

“Ini juga bagi mempertahankan Sarawak dan ‘anak negeri’ daripada ancaman dalaman serta luaran, selain memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan negeri dalam mempertahankan hak negeri dalam MA63.

“Kita mahu orang ramai memahami betapa pentingnya hak dan keistimewaan negeri ini di bawah MA63 sentiasa dihormati serta dipulihara,” katanya pada sidang media di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai yang hadir ke perhimpunan itu untuk meletak kenderaan di Bangunan Saujana, Padang Pasir, Plaza Merdeka, Dewan Suarah dan sama sekali tidak meletakkan kenderaan di sekeliling Padang Merdeka.

Abdul Halim berkata, orang ramai digalakkan memakai baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan.

Katanya, program berkenaan juga akan diakhiri dengan bacaan ikrar Solidariti Sarawak serta menandatangani ikrar berkenaan.

Abdul Halim turut menegaskan bahawa Perhimpunan Aman Solidariti MA63 Sarawak 2019 tidak membabitkan sebarang parti politik.

Sebaliknya, ia dianjurkan secara sah, malah sudah mendapat kelulusan dan permit polis, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) termasuk pihak berkuasa berkaitan.

139 dibaca
Berita Harian X