Selasa, 15 Januari 2019 | 12:22pm
Persembahan ucapan ikrar taat setia oleh Menteri Besar mewakili ahli-ahli majlis mesyurat kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat seluruh negeri Pahang.
Persembahan ucapan ikrar taat setia oleh Menteri Besar mewakili ahli-ahli majlis mesyurat kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat seluruh negeri Pahang.

Kemakmuran, kesejahteraan kekal di bawah pemerintahan Sultan Abdullah

PEKAN: Kemakmuran dan kesejahteraan negeri Pahang akan terus kekal di bawah pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pemerintahan Al-Sultan Abdullah akan kekal cemerlang seperti mana kecemerlangan pemerintahan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah sebelum ini.

“Tuanku sendiri telah pun sekian lama dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang, termasuk selama lima tahun ketika Paduka Ayahanda bersemayam di Istana Negara sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

“Menerusi pengalaman itu, patik percaya sudah membuatkan Tuanku amat berpengalaman dalam mengendalikan urusan sebagai Sultan Pahang,” katanya ketika berucap pada istiadat pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang VI, di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau bersama seluruh rakyat Pahang mempunyai keyakinan tinggi bahawa Al-Sultan Abdullah akan berjaya di singgahsana takhta kesultanan dengan penuh kesabaran dan kedaulatan.

Katanya, Sultan Abdullah sudah pasti mempunyai pendekatan tersendiri yang bakal dilaksanakan kelak apabila berada di tampuk pemerintahan.

“Malah, daripada segi peranan Raja-Raja Melayu sendiri Tuanku mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas,” katanya.

Wan Rosdy percaya, di bawah pemerintahan Al-Sultan Abdullah bukan sahaja kaum Melayu berasa dilindungi malah semua kaum yang lain termasuk Cina, India dan Orang Asli.

Beliau berkata, soal bangsa Melayu, Al-Sultan Abdullah sering menitahkan supaya mereka kekal bersatu dan tidak bertelagah sesama sendiri jika puncanya adalah kerana politik.

Pada masa sama, Wan Rosdy turut memuji, keperibadian Al-Sultan Abdullah yang diibarat mewarisi keperibadian Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah apabila pantang mendengar kesusahan dan keperitan dihadapi rakyat dan akan segera hadir berdamping dengan mereka.

Wan Rosdy berkata, beliau bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan seluruh rakyat Pahang mendoakan Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesejahteraan dan ilham kebijaksanaan sepanjang mentadbir Pahang.

Beliau juga berikrar untuk terus setia di bawah pemerintahan Sultan Abdullah dan berjanji menggembleng segenap tenaga bagi memastikan kedaulatan negeri sentiasa terpelihara.

Berita Harian X