Isnin, 14 Januari 2019 | 5:33pm
CHOW Kon Yeow (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa semasa sidang media selepas Majlis penyerahan replika cek kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan tahun 2019 di Komtar. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kenaikan tarif air Pulau Pinang adalah untuk masa depan - Ketua Menteri

GEORGETOWN: Kerajaan negeri hari ini menjelaskan permohonan semakan tarif air yang dibuat kepada Kerajaan Persekutuan adalah bagi membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang sudah dirancang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata sekiranya semakan tarif air baharu diluluskan, semua hasil tambahan daripada kajian tarif air akan dilaburkan semula kepada projek Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“PBAPP merancang untuk melabur RM501 juta dalam projek bekalan air untuk manfaat rakyat Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun.

“Sehubungan itu, PBAPP perlu meningkatkan dana yang mencukupi untuk merealisasikan projek kejuruteraan bekalan air Pulau Pinang untuk masa depan.

“Tanpa projek terbabit, Pulau Pinang berhadapan risiko krisis air ketika musim kemarau pada setiap tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, ketika ini PBAPP merancang untuk membuat pelaburan sebanyak RM501 juta terhadap lima projek utama bagi memastikan bekalan air di negeri ini mampan.

Katanya, pada 2017 purata permintaan air di negeri ini adalah 826 juta liter sehari (MLD), dan menjelang 2050 ia dijangka meningkat sebanyak 128 peratus dengan kadar 1,884 MLD.

“Lima projek utama terbabit adalah Saluran Paip Berkembar Dasar Laut Butterworth-Pulau Pinang, Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), Menaiktaraf Kemudahan Rawatan Air Sedia Ada, Projek Saluran Paip Baru dan Penggantian, serta Pengurusan Air Tidak Terhasil (NRW),” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, penetapan tarif air baharu masih di peringkat perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli, dan ia mungkin mengambil tempoh yang lama.

“Setakat ini kita masih tunggu. Walaupun kita boleh runding dan cadangkan, ia akhirnya tertakluk kepada kuasa Kerajaan Pusat,” katanya.

Minggu lalu, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang dijangka akan menaikkan sehingga lebih 20 peratus kadar tarif air, selaras penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air seluruh negara.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang untuk memansuhkan surcaj penjimatan air (WCS), sejurus kenaikan kadar tarif air baharu diumumkan.

65 dibaca
Berita Harian X