Ahad, 13 Januari 2019 | 5:07pm
SEORANG lelaki memakai vest tertulis ‘kerja amal mengutip sampah’ dengan gambar monyet sebagai denda kerana membuang sampah merata tempat di Pekan Semporna. - Ihsan Pejabat Daerah Semporna

Denda pakai vest 'monyet' diteruskan

KOTA KINABALU: Pejabat Daerah Semporna tetap meneruskan hukuman pemakaian vest ‘monyet’ terhadap individu yang membuang sampah merata-rata, sehingga daerah ini diisytiharkan bebas sampah.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, berkata Jawatankuasa Ops Payung Bersepadu di bawah pejabat daerah turut menaiktaraf vest terbabit dengan menambah perkataan `kerja amal mengutip sampah’, sejak Jumaat lalu.

Beliau berkata, tulisan ‘monyet’ pada vest itu juga tidak lagi digunakan, sebaliknya diganti dengan gambar haiwan berkenaan.

“Di Semporna, masalah sampah di pekan amat kritikal dan unik, malah jika diibaratkan seperti penyakit kanser, masalah sampah di daerah ini sudah mencapai tahap empat, kritikal.

“Oleh kerana kritikal dan unik, ia memerlukan jalan penyelesaian yang unik dan drastik. Kami tidak akan berganjak daripada usaha ini, walaupun ada badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi manusia membantah.

“Apa yang penting, kami mencapai objektif iaitu bebaskan Semporna daripada masalah sampah sarap. Ini sejajar sasaran jawatankuasa untuk Semporna bebas sampah pada 1 April, jika tidak tercapai, usaha ini akan tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini hari ini.

Khamis lalu NSTP melaporkan, seramai 12 individu dikenakan denda oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai vest tertulis perkataan ‘monyet’ selepas didapati membuang sampah sesuka hati.

Sejak dilaksanakan pada 1 Januari sehingga Khamis lalu, seramai 31 orang termasuk seorang pelancong wanita didapati membuang sampah merata tempat di pekan daerah ini dengan 19 membayar kompaun RM30 hingga RM500 manakala 12 gagal menjelaskan bayaran dan dikenakan hukuman memakai vest hijau tertulis perkataan ‘monyet’.

Hukuman itu mendapat reaksi berbeza beberapa pihak termasuk ada yang menyifatkan ia seolah-olah merendahkan martabat individu kerana menyamakannya dengan haiwan.

Bagaimanapun, penduduk setempat yang ditemui menyambut baik usaha itu kerana menyifatkan masalah sampah di Pekan Semporna sudah kritikal.

459 dibaca
Berita Harian X