Sabtu, 12 Januari 2019 | 8:26pm

Rapid KL ubah laluan bas di Cheras dan Sungai Besi

KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd, operator perkhidmatan bas Rapid KL telah menstruktur semula laluan bas di sepanjang koridor Cheras dan Sungai Besi berkuat kuasa hari ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata perubahan kecil atau ‘tweaking’ dua koridor itu adalah untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan Rapid Bus kepada pengguna.

“Ini merupakan tweaking kedua selepas koridor Ampang pada 15 Dis dengan lapan perkhidmatan bas pengantara disediakan dengan jadual waktu perjalanan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menerusi penstrukturan semula yang dilakukan berikutan pertindihan laluan di koridor Cheras dan Sungai Besi itu, lima laluan bas Rapid KL ditamatkan termasuk Laluan 401 (KTM Serdang-Lebuh Pudu) yang akan melalui Laluan 590 dan Laluan 452 (Tasek Kesuma-Lebuh Pudu) akan melalui Laluan T450.

Enam lagi laluan bas telah dibuat perubahan kecil yang mana lima laluan dipendekkan manakala satu laluan disusun semula.

Laluan 540 (Bandar Putra Permai ke Hab Lebuh Pudu) dipendekkan ke KTM Serdang dengan penumpang bertukar ke Laluan 590 untuk meneruskan perjalanan ke Lebuh Pudu. Laluan T582 (LRT Awan Besar ke LRT Salak Selatan melalui Bukit Jalil) dipendekkan ke Kuchai Lama (The Leafz) yang mana penumpang beralih ke Laluan 590 untuk ke Razak Mansion.

Laluan 580 (Desa Petaling ke Hab Lebuh Pudu melalui LRT Chan Sow Lin) diselaraskan melalui LRT Salak Selatan. Penumpang akan bertukar ke 590 untuk ke LRT Chan Sow Lin.

“Dengan perjalanan yang dipendekkan dan disusun semula, penumpang boleh menukar perjalanan mereka di hab bas untuk meneruskan perjalanan mereka ke pusat bandar,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 13 laluan bas diperkenalkan termasuk dari Maluri ke Titiwangsa, dari Putrajaya Sentral ke Bandar Utama dan dari Bandar Putra Permai ke KTM Serdang.

“Penumpang boleh melihat jadual perjalanan dan Facebook Rapid KL untuk perkembangan terkini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

279 dibaca
Berita Harian X