Sabtu, 12 Januari 2019 | 7:04pm
KETUA Menteri, Adly Zahari beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk Negeri Melaka 2019, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Pertukaran kakitangan proses biasa - KM Melaka

MELAKA: Sebarang pertukaran pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah proses biasa dalam sesebuah pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata sebahagian pertukaran itu disebabkan oleh peningkatan perjawatan, prestasi kerjaya serta faktor keperluan semasa dalam usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan di setiap peringkat.

“Walaupun kerajaan ini masih baru, sebahagian kakitangan sudah lama berkhidmat dalam sesebuah agensi. Ada sebahagian kita lihat (pertukaran) bagi peningkatan jawatan, nilai kualiti dan keperluan semasa.

“Penilaian sentiasa dibuat dari semasa ke semasa. Sekiranya ada pertukaran membabitkan pegawai dan kakitangan di peringkat kerajaan negeri, termasuk PBT, kerajaan akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk Negeri Melaka 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Rabu lalu, NSTP melaporkan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang dipengerusikan Adly tidak membincangkan kedudukan Datuk Azmi Hussain sebagai Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah.

Sebelum ini, terdapat ura-ura pertukaran Datuk Bandar berikutan dakwaan kelulusan 13 parkir swasta yang dibuat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tanpa melalui perbincangan dengan kerajaan negeri sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Mengenai kedudukan Azmi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mahani Masban yang turut didakwa bakal ditukarkan, Adly berkata, buat masa ini kedua-dua pegawai kerajaan itu masih menjalankan tugas seperti biasa.

“Sehingga saat ini, Datuk Bandar masih menjalankan tugas seperti biasa. Begitu juga dengan Yang Dipertua MPHTJ tetap bertugas di PBT. Kerajaan negeri hanya akan maklumkan sekiranya ada sebarang pertukaran,” katanya.

463 dibaca
Berita Harian X