Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:17pm

SAINS rekod tunggakan bil air RM28.4 juta

SEREMBAN: Sejumlah RM28.4 juta tunggakan bil air di seluruh negeri ini direkodkan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) hingga Disember tahun lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata sehubungan itu, pemilik akaun tertunggak digesa menjelaskan bayaran bagi mengelakkan tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan SAINS bagi mengurangkan jumlah tunggakan itu, termasuk mengeluarkan notis pemotongan mengikut Seksyen 89(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Tindakan pemotongan itu dilaksanakan ke atas pemilik akaun yang tidak menjelaskan bayaran bagi tempoh 44 hari sehingga menyebabkan tunggakan tinggi dan melebihi deposit.

“Sekiranya pemilik akaun masih tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan, pemotongan bekalan air akan dilakukan tanpa mengira premis domestik mahupun industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Norzita berkata, SAINS turut memandang serius kegiatan mencuri air yang mengakibatkan gangguan bekalan terbabit di premis berhampiran kerana mengganggu aliran sistem retikulasi sedia ada.

Justeru, beliau berkata, SAINS mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung kegiatan berkenaan.

“Pemilik premis yang didapati melakukan kegiatan itu boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara hingga enam bulan mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Pemilik juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kegiatan mencuri air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982.

126 dibaca
Berita Harian X