Sabtu, 12 Januari 2019 | 2:17pm
RONALDO Lee, 19, (kiri) bersama adiknya Dephnie Lee, 9, mencari sisa-sisa barang di tapak rumahnya yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Duit simpanan sambut Tahun Baharu Cina hanya tinggal debu

PUTATAN: “Wang RM2,000 sebagai persediaan untuk menyambut Tahun Baharu Cina hanya tinggal debu,” kata Lee Sie Hin, 58, seorang mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, semalam.

Sie Hin ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Putatan berkata, dia mengambil masa selama dua bulan untuk mengumpul wang itu sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina, pada awal Februari depan.

“Saya selalu buat rumah terbuka untuk rakan-rakan, jadi memang ada buat persediaan termasuk wang perbelanjaan untuk beri ‘angpow’. Duit itu saya kumpul sejak dua bulan lalu hasil saya bekerja sebagai nelayan.

“Pagi tadi anak saya pergi cari wang yang disimpan dalam kotak di tapak rumah yang terbakar tetapi wang itu sudah jadi debu,” katanya sambil menangis mengenang semula wang hasil titik peluhnya hangus begitu sahaja.

Malah, kata Sie Hin, semua barangan rumah seperti perabot dan peralatan elektrik gagal diselamatkan.

“Peti sejuk yang baru dibeli belum sampai sebulan kami gunakan dan televisyen dibeli pada Disember lalu juga tidak sempat diselamatkan.

“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri masing-masing dan dua kenderaan milik keluarga. Kini kami tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang dan tiada rumah untuk menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.

Terdahulu, Sie Hin berkata, ketika kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, dia bersama ahli keluarganya berada di rumah.

“Saya baru selesai makan tengah hari dan mahu berehat di ruang tamu. Anak perempuan saya ada maklumkan ternampak asap tebal tidak jauh dari rumah dan tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.

“Saya lihat api marak selang tiga baris dari rumah kami. Saya segera mencapai beg galas berisi dokumen dan ambil kunci kereta selamatkan kedua-dua kenderaan kami,” katanya ketika diminta menceritakan semula kejadian kebakaran itu.

Seorang lagi mangsa, Umih Dudoi, 63, berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang meluangkan masa melawat semua mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Putatan.

“Selain kehilangan tempat tinggal, semua barangan rumah termasuk peralatan membuat kuih sebagai punca rezeki saya juga turut musnah dalam kebakaran.

Seorang lagi mangsa kebakaran, Matjani Laiman, 68, berkata ketika kejadian dia berada di kedai manakala isteri dan anaknya sedang membuat kuih untuk dijual di pasar mingguan berhampiran, hari ini.

“Namun semuanya tidak dapat diselamatkan termasuk kuih-muih yang sepatutnya dijual di Tamu Putatan, hari ini,” katanya.

166 dibaca
Berita Harian X