Sabtu, 12 Januari 2019 | 2:07pm
MOHD Shafie (tengah) bertemu mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih di penempatan sementara di Dewan Serbaguna Putatan. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Tingkat bekalan dan tekanan air bantu operasi bomba

PUTATAN: Bekalan dan tekanan air yang mencukupi amat diperlukan bukan sahaja untuk keperluan seharian penduduk tetapi penting untuk membantu operasi memadam kebakaran, khususnya di kawasan perumahan penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sejajar dengan kedua-dua keperluan itu, kerajaan negeri merancang untuk membina empangan baharu bagi meningkatkan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Katanya, kebakaran tidak boleh dijangka bila berlaku dan dalam keadaan cuaca tidak menentu, kesiapsiagaan perlu ada membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, masyarakat setempat, majlis daerah dan Jabatan Air.

“Pasukan bomba sudah boleh kesan tekanan air cukup atau sebaliknya. Kalau tidak cukup, kita akan terus hubungi Jabatan Air untuk bantu. Masalahnya tekanan air kurang (kebakaran semalam), kita sudah nyatakan mahu buat kawasan tadahan air tetapi ada yang protes. Mahu buat pembangunan kena ada air.

“Menerusi pembinaan empangan di kawasan berhampiran Kota Kinabalu, ia dapat memastikan kawasan ini menerima air secukupnya, sekali gus mengurangkan masalah tekanan air rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih, di Dewan Serbaguna Putatan, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, buat masa ini perlu ada sistem dibina untuk mengurangkan jumlah kemusnahan sekiranya berlaku kebakaran.

“Kita kena ada sistem yang cukup. Kalau tekanan air tiada, kita kena sediakan lori di setiap tempat bagi memudahkan pengangkutan air dilakukan secepat mungkin.

“Kalau berdekatan dengan laut, kita sediakan pam untuk sedut air, tidak perlu bergantung dengan bomba. Malah, perkara ini sudah saya suarakan dahulu, mesti ada bomba laut bukan saja bomba darat.

“Sebab kadang-kadang ada kampung laut yang terbakar tetapi bagaimana mahu menyedutnya. Sebab itu kita kena pasang struktur sistem yang sempurna untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Terdahulu, mengulas lanjut berhubung mangsa kebakaran, Mohd Shafie berkata, bantuan sudah disalurkan termasuk makanan, pemantauan kesihatan terhadap kanak-kanak dan warga emas.

“Selain itu, kerajaan negeri akan duduk berbincang berhubung penempatan mereka, tidak mungkin mereka akan ditempatkan di sini (dewan) sehingga enam bulan. Jadi, kita ada perancangan dan akan lihat bagaimana untuk membantu mereka,” katanya.

74 dibaca
Berita Harian X