Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:48pm
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong (dua dari kanan) menyaksikan penyampaian pensijilan perkhidmatan mQuit atau berhenti merokok di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu oleh Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles, Noel Cheah di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Kerajaan Sabah tidak sediakan kemudahan merokok

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan menyediakan kemudahan merokok kepada pemilik premis makanan di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata penyediaan kemudahan seumpama itu adalah atas inisiatif pemilik premis.

“Berdasarkan tinjauan di beberapa restoran, ada pemilik yang mengambil inisiatif memasang papan tanda larangan merokok dan menyediakan tempat khas untuk perokok.

“Bagi kerajaan, buat masa ini, kita tidak akan menyediakan bantuan kepada pemilik premis untuk menyediakan kemudahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sijil mQuit atau perkhidmatan berhenti merokok kepada Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Noel Cheah.

Kerajaan negeri sebelum ini bersetuju memberikan tempoh enam bulan untuk mendidik orang ramai supaya tidak merokok dalam jarak tiga meter dari premis makanan, bermula 1 Februari ini sebelum penguatkuasaan denda terhadap pesalah dilaksanakan bermula 1 Julai depan.

Difahamkan, pemain industri pelancongan mahu kerajaan negeri membantu pengusaha restoran menyediakan kemudahan untuk merokok khususnya kepada pelancong.

Stephen berkata, berdasarkan Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada tahun 2015, kelaziman merokok di negara ini ialah pada kadar 22.8 peratus dengan Sabah merekodkan kadar tertinggi sebanyak 28.4 peratus berbanding negeri lain.

Katanya, di Barat, purata kos penjagaan kesihatan bagi merawat perokok yang mengidap komplikasi paru-paru kronik ialah RM123,000 termasuk kos hospital, perubatan dan rawatan lain.

Bagi menangani masalah perokok di negeri ini, Stephen berkata, pihaknya juga akan berjumpa dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membincangkan kaedah menangani rokok seludup yang banyak digunakan di negeri ini.

203 dibaca
Berita Harian X