Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:42pm
SULAIMAN melihat sistem pembentungan yang tersumbat yang dikhuatiri antara punca wabak denggi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Baiki segera sistem pembetungan PPR Taman Mesra

SANDAKAN: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, di sini, menggesa kerajaan segera mengatasi masalah kerosakan pada sistem pembetungan di kawasan perumahan itu.

Mereka bimbang sistem pembetungan yang tersumbat menyebabkan air melimpah dan bertakung menjadi tempat nyamuk Aedes membiak, sekali gus mengundang wabak denggi.

Penduduk, Abdul Hashif Sukano, 38, berkata anak lelakinya, Saif Huzaiman, 8, antara yang dijangkiti wabak itu dan ditahan di Hospital Duchess of Kent, di sini, sejak semalam selepas mengalami demam.

Katanya, sekurang-kurangnya ada 16 kes denggi direkodkan di kawasan berkenaan sejak awal tahun ini membabitkan tiga blok di taman itu.


HAMPIR sebahagian besar sistem pembentungan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Sandakan rosak menyebabkan air bertakung dan kotor. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

“Masalah sistem pembetungan tersumbat sudah lama berlaku. Kami sudah beberapa kali buat aduan termasuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), namun jawapan diberikan kepada kami tiada peruntukan untuk membaiki sekarang.

“Untuk membuat gotong-royong bersihkan kawasan sekitar, kami tiada masalah. Namun, ia membabitkan sistem pembetungan yang cuma boleh ditangani pihak berwajib,” katanya ketika ditemui NSTP di sini, hari ini.

PPR Taman Mesra mempunyai kira-kira 1,000 unit kediaman membabitkan 57 blok yang dibina sejak 13 tahun lalu.

Tinjauan NSTP mendapati sebahagian besar sistem pembetungan di taman itu tersumbat menyebabkan air bertakung dan berlumut.

Abdul Hashif yang juga pekerja sebuah pusat pelancongan di sini berkata, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) juga perlu memeriksa rumah kosong tidak berpenghuni kerana dikhuatiri turut menjadi sarang nyamuk.

Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan yang juga penduduk kawasan itu, Sulaiman Abdul Samat, berkata biarpun ada gotong-royong dilaksanakan, ia tidak menjamin kesihatan penduduk di taman itu susulan kerosakan pada sistem pembetungan yang membabitkan hampir setiap blok.

“Saya sendiri baru sembuh daripada demam denggi. Kami harap pihak berwajib menangani masalah ini secepat mungkin agar penduduk tidak terus terdedah kepada ancaman penyakit,” katanya.

32 dibaca
Berita Harian X