Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:14pm
Mayat remaja, Muhammad Fakri Amin Mohd Asri, 13 yang hilang selepas tergelincir ketika berjalan di atas batu di Pantai Kemayang di sini petang semalam, ditemui terapung oleh sepasukan penyelamat kira-kira 30 meter daripada lokasi kejadian pada jam 12 tengah malam tadi. - Foto ihsan JBPM Kelantan

'Abe gi dulu deh'

KOTA BHARU: “Abe gi dulu deh (Abang pergi dulu),” Demikian kata-kata terakhir Muhammad Fakri Amin Mohd Asri, 13, kepada ayahnya sebelum ditemui lemas di Pantai Kemayang, Bachok, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika berjalan di atas batu di pantai berkenaan.

Mayat Muhammad Fakri ditemui terapung enam jam kemudian oleh pasukan penyelamat, kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang di sini.

Ibunya, Norhalida Mohd Noor, 46, berkata arwah sebelum keluar ke Pantai Kemayang semalam sempat meminta keizinan suaminya, Mohd Asri Sidik, 45.

“Abe (panggilan untuk arwah Fakri) sempat cakap Abe nak gi (pergi) dah ni kepada ayahnya sebelum mereka keluar.

“Sebelum itu, arwah berbalah dengan adik bongsunya, Muhammad Irfan Hakimi, 8, di dalam kereta untuk memilih lokasi riadah sebelum mereka membuat keputusan ke Pantai Kemayang.

“Arwah beria-ia mahu ke sana untuk mengutip ketam kecil. Tak sangka rupanya ajal dah panggil dia ke situ,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Cherang di sini, hari ini.

Norhalida berkata, sebelum kejadian dia menyedari beberapa perubahan anak ketiga daripada empat beradik itu termasuk begitu berselera makan selain menjadi pendiam.

“Selepas pulang dari majlis tahlil bapa saudara malam kelmarin (Khamis) saya pelik apabila melihat arwah menjadi sangat pendiam berbanding dengan sikapnya yang periang dan banyak cakap.

“Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Kakak mangsa, Nor Atiah, ketika menceritakan detik cemas kejadian, berkata dia sempat melihat adiknya terjatuh ke dalam laut sebelum dia bersama ibunya terjun untuk menyelamatkan Fakri.

“Saya sempat nampak tangan adik terkapai-kapai sebelum ditelan ombak. Saya dan mak cuba capai tangan adik namun tak berjaya kerana arus terlalu deras,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

303 dibaca
Berita Harian X