Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:57am
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir melepaskan para peserta berbasikal pada majlis Pra-Pelancaran Perlumbaan Basikal Red Eagle Tour 2019 di Dataran Bandar hari ini. - Foto BERNAMA

Kedah belum ada keputusan mengenai tarif air - MB

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah masih belum membuat ketetapan mengenai kenaikan atau pengekalan kadar tarif air kerana belum berbincang secara rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan mendengar hujah pihak Kerajaan Persekutuan kerana sememangnya mereka mempunyai hak menyelaraskan tarif air.

“Kita mengakui tarif boleh berubah berikutan keadaan semasa bergantung jumlah air yang dibekalkan, belanja untuk membina dan kos penyelenggaraan yang sememangnya ia tidak membabitkan belanja yang rendah.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang maklumat dan perbincangan akan dibuat dengan SPAN dalam tempoh terdekat sebelum dibawa ke mesyuarat EXCO pada Rabu ini.

“Biar kami bincang dahulu dengan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan Kerajaan Persekutuan sebelum membuat sebarang ketetapan mengenai kadar tarif air,” katanya ketika ditemui pada program prapelancaran perlumbaan basikal Fun Ride 40km sempena Red Eagle Tour 2019 di Medan Bandar Alor Setar di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau yakin jika berlaku perubahan kepada tarif sir pun, kumpulan B40 tidak akan terjejas.

“Jika dilaksanakan sekalipun, ia membabitkan tarif yang berbeza dengan golongan sasaran dan mereka di luar kelompok B40.

“Bagaimanapun, kami akan melihat dulu hasil perbincangan yang akan dilakukan sebelum memutuskan apa yang sewajarnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menaikkan tarif air tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak kerana akan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat ketika ini.

54 dibaca
Berita Harian X