Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:20am
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Promosi kesihatan mental di segenap peringkat komuniti

KUALA LUMPUR: Aspek pembangunan kesihatan mental di negara ini tidak seharusnya dipandang enteng, sebaliknya ia perlu dipromosikan secara giat di setiap peringkat komuniti.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata selepas beberapa insiden sehingga membawa maut, seharusnya apa yang berlaku memberi kesedaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan untuk menangani isu penyakit mental secara serius.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihak berkaitan perlu segera meningkatkan program pembangunan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat sebagai langkah awal memberi pendidikan dan kesedaran mengenai hal itu.

“Pembangunan kesihatan mental amat penting dan seluruh masyarakat perlu bersama-sama mengamalkan cara hidup berasaskan kesihatan mental yang baik. Kita akan menghadapi masalah jika tidak mempedulikannya.

“Seperti bom jangka. Mereka yang menderita akibat masalah kesihatan menteri boleh meletup bila-bila masa dan memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat selain di tempat mereka bekerja.

“Saya secara konsisten membangkitkan isu berkaitan mental dan psikososial yang memberi kesan kepada mereka di rumah, sekolah dan tempat kerja. Secara umumnya, masalah itu juga akan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa pencegahan di peringkat awal pasti mampu mengurangkan penderitaan masalah mental sehingga bertukar menjadi ganas selain boleh bertindak ekstrim termasuk membunuh dan membunuh diri.

Katanya, kemungkinan faktor lain seperti penyalahgunaan dadah juga menyumbang kepada masalah mental.

“Fakta bahawa penyakit dan masalah mental turut disebabkan oleh penyalahgunaan dadah sepatutnya membuka mata kita mengenai betapa serius isu ini.

“Kita perlu mencari jalan terbaik untuk menangani ketagihan dadah yang meningkat saban tahun. Saya percaya isu kesihatan mental ini perlu ditangani bersama oleh semua pihak dengan kadar segera.

“Selain itu, stigma bahawa orang yang mengalami masalah mental sering dianggap orang gila harus dihentikan. Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan yang lain perlu bekerjasama membanteras stigma ini,” katanya.

Berita Harian X