Khamis, 10 Januari 2019 | 8:13pm
PESALAH yang gagal membayar kompaun dikenakan denda mengutip sampah sambil memakai vest hijau tertulis perkataan monyet. - ihsan pembaca

'Vest MONYET' undang reaksi berbeza NGO

KOTA KINABALU: Badan bukan kerajaan (NGO) bercanggah pendapat berhubung keputusan Majlis Daerah Semporna memakaikan pesalah ‘vest’ tertera tulisan ‘MONYET’ sebagai sebahagian daripada hukuman kerana membuang sampah sesuka hati.

Pengasas bersama Trash Hero Borneo, Monica Chin, berkata hukuman seumpamanya dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan dan mendidik masyarakat Semporna serta pelancong untuk menjadi individu bertanggungjawab.

“Walaupun saya menghormati tindakan itu, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah mesti munasabah dan dalam usaha kita untuk mewujudkan persekitaran bebas sampah, semua orang perlu mengubah sikap mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hukuman itu dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, yang mana denda pemakaian ‘vest MONYET’ hanya dikenakan terhadap pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala’u dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Rakyat tempatan dan pelancong asing pula dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah jika berbuat demikian.

Sementara itu, aktivis pengguna dan hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu, berkata tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana pihak menghukum individu dengan nama haiwan tidak boleh diterima kerana menyalahi hak asasi manusia.

“Tindakan ini seolah-olah merendahkan martabat seseorang individu kerana menyamakannya dengan haiwan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kalau mahu menghukum atau mendenda seseorang atas kesalahan tertentu seperti membuang sampah, denda sajalah, tak payah menggelar mereka dengan nama haiwan seperti monyet.

"Jika denda mereka kutip sampah atas nama kerja kemasyarakatan, paling baik kalau mereka dipanggil pekerja sukarela. Saya sendiri rela dianggap pekerja sukarela bagi melakukan kerja amal seperti mengutip sampah," katanya kepada NSTP hari ini.

Seramai 12 individu didenda melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai 'vest MONYET' di Semporna sejak hukuman itu dilaksanakan oleh Majlis Daerah Semporna pada 1 Januari lalu.

Sejak tindakan itu dilaksanakan, pelbagai reaksi diterima termasuk yang memuji dan mengkritik tindakan itu daripada netizen.

1375 dibaca
Berita Harian X