Khamis, 10 Januari 2019 | 5:42pm
ANTARA individu yang didenda melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai ‘vest’ tertulis perkataan ‘MONYET’. - Foto ihsan pembaca

12 didenda kutip sampah pakai vest 'MONYET'

SEMPORNA: Padah membuang sampah sesuka hati, seramai 12 individu didenda melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai ‘vest’ tertulis perkataan ‘MONYET’.

Hukuman itu dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, yang mana denda pemakaian vest hanya dikenakan terhadap pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala’u dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Rakyat tempatan dan pelancong asing pula dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah jika berbuat demikian.

Difahamkan, masalah sampah di Semporna sejak sekian lama didakwa akibat sikap penduduk khususnya warga asing yang membuang sampah merata-rata, termasuk di kawasan rumah dan pekan.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, berkata sejak dilaksanakan sehingga pagi tadi, seramai 31 orang termasuk seorang pelancong wanita didapati membuang sampah di merata tempat di pekan daerah ini.

“Daripada jumlah itu, 19 orang membayar kompaun RM30 hingga RM500 manakala 12 gagal membayar kompaun dan dikenakan hukuman memakai vest hijau dengan tertulis perkataan ‘MONYET’.

“Mereka melakukan kerja amal mengutip sampah di kawasan pekan selama sejam dengan memakai vest berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hukuman itu akan berterusan sehingga daerah berkenaan bebas daripada sampah.

“Ini adalah mesej atau amaran keras kepada orang awam supaya tidak membuang sampah sewenang-wenangnya. Pekan ini sudah dalam tahap empat masalah sampah jika dibandingkan dengan penyakit kanser, maka ‘ubatnya’ hanya melaksanakan hukuman yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pernah menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan daerah itu yang disifatkan boleh menjejaskan kedudukan Semporna sebagai destinasi tumpuan pelancong asing.

Berita Harian X