Isnin, 7 Januari 2019 | 1:24pm
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memotong pokok yang tumbang selepas kejadian angin kuat dan ribut di Gugusan Manjoi, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memotong pokok yang tumbang selepas kejadian angin kuat dan ribut di Gugusan Manjoi, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Kerja pembersihan kesan ribut selesai hari ini

IPOH: Kerja-kerja pembersihan akibat ribut dan hujan lebat yang menyebabkan beberapa pokok besar tumbang di beberapa kawasan, di sini, semalam dijangka selesai hari ini.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria, berkata gerak kerja bermula sejak jam 7.25 malam tadi.

Katanya, ribut yang melanda petang semalam menyebabkan beberapa pokok besar tumbang di jalan di sekitar gugusan Manjoi, Taman Pertama, Jalan Silibin, Keledang Jaya, Jelapang dan Cherry Apartment.

“Bagaimanapun, tiada aset MBI yang mengalami kerosakan dan anggaran kerosakan serta pembaikan hanya membabitkan rumah individu yang akan dikendalikan oleh pihak pejabat daerah dan tanah,” katanya.


Mangsa ribut, Cik Embun Yahya 64, melihat keadaan rumahnya yang rosak selepas kejadian angin kuat dan ribut di Gugusan Manjoi, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MBI Bulan Disember 2018 di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini.

Semalam, lebih 20 rumah di sekitar gugusan Manjoi di Ipoh, rosak teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian struktur bumbung, manakala beberapa pokok tumbang, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Ribut turut dilaporkan berlaku di daerah Kerian dan Hilir Perak.

Berita Harian X