Ahad, 6 Januari 2019 | 11:00pm
Amirah menerima segulung ijazah di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Disember lalu. - Arkib NSTP
Amirah menerima segulung ijazah di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Disember lalu. - Arkib NSTP

Amirah sudah tiada

KOTA BHARU: Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Amirah Mohd Zahari, 25, yang menerima segulung ijazah di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Disember lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya, jam 6.20 petang tadi.

Amirah yang menghidap penyakit gangguan saraf menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Pasir Badak, Ketereh di sini, tidak sampai sebulan selepas keluar dari Wad 3 Utara hospital itu 13 Disember lalu.

Abang ipar arwah, Mohd Izwan Syukri, 32, berkata Amirah menjadi semakin lemah sejak dibenarkan keluar hospital.

“Di rumah arwah hilang selera makan dan hanya terbaring lesu di katil tanpa upaya. Saya tidak dapat menahan sedih melihat keadaan diri arwah yang tidak ceria seperti kebiasaannya.

“Dalam keluarga, arwah menjadi harapan ibu dan ayah kerana dalam kalangan lapan adik beradiknya, hanya dia seorang berjaya menjejakkan kaki ke universiti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Izwan berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

BH sebelum ini melaporkan kisah Amirah yang diraikan dalam majlis mini konvokesyen yang diadakan di Wad 3 Utara HUSM selepas terlantar lebih sebulan disebabkan penyakit gangguan saraf yang dideritai sejak Jun tahun lalu.

Dalam majlis ringkas itu, arwah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan (Sastera) menerima ijazah di atas katil hospital yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Husaini Omar sambil disaksikan ibu bapanya, Mohd Zahari Saat, 64, dan Noriah Mamat, 55, serta pasukan perubatan yang merawatnya.

Penyakit gangguan saraf yang dihidapi menjejaskan pergerakan, percakapan dan penglihatannya sekali gus memaksa arwah untuk melupakan hasratnya untuk menyertai Istiadat Konvokesyen UMK yang berlangsung pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Berita Harian X