Jumaat, 4 Januari 2019 | 5:40pm
DR Mohd Asri Zainul Abidin

Himpunan tidak bawa kebaikan - Mufti Perlis

KANGAR: Tindakan ahli kariah sekumpulan imam berhimpun bagi mendesak Mufti Perlis meletak jawatan dilihat sia-sia kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada umat Islam di negeri itu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata himpunan itu tidak dapat mengembalikan semula jawatan semua imam yang ditamatkan kontrak pada Selasa lalu.

“Sebenarnya, faktor utama mereka (imam) ini membuat bantahan adalah disebabkan elaun dan selesa menerimanya melalui peruntukan tersedia sebelum ini.

“Tidak timbul sebenarnya isu qunut, zikir kuat dan bacaan doa kuat selepas solat fardu. Bagilah peluang kepada orang lain yang lebih muda dan kuat hafalannya menjadi imam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu seramai 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, mengadakan bantahan selepas solat Jumaat bagi mendesak Mufti Perlis dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) meletak jawatan berhubung isu pemecatan 25 orang imam di negeri ini.

Mohd Asri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada parti politik tertentu yang seolah-olah memainkan peranan mereka dalam memperbesarkan isu ini.

“Kadang-kadang ada sebilangan masjid, ahli keluarga saja yang memenuhi jawatan dalam institusi masjid itu.

“Seolah ada elemen parti tertentu yang mempengaruhi mereka dalam isu ini sedangkan negeri lain yang tidak sambung kontrak imam masjid tidak pula menjadi isu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan beliau yang dilihat seolah mendominasi institusi keagamaan di negeri ini, Mohd Asri berkata itu adalah sebahagian daripada bidang tugas beliau.

“Salahkah saya sebagai orang kedua terbesar dalam institusi agama negeri selepas Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis mengulas akan perkara ini?

“Sedangkan saya juga merujuk kepada JAIPs dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs) berhubung perkara ini dan tidak timbul sebenarnya isu saya layak atau tidak,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

2351 dibaca
Berita Harian X