Khamis, 3 Januari 2019 | 9:47pm
GAMBAR fail, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Azhar Ramli

Faktor usia dan masalah disiplin punca 25 imam dipecat

KANGAR: Pemecatan 25 imam kariah di Perlis bukan dilakukan kerana mereka membaca doa qunut dan zikir kuat selepas solat fardhu, sebaliknya kerana faktor usia dan masalah disiplin.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata majoriti imam yang ditamatkan perkhidmatan itu berusia antara 61 hingga 68 tahun menyebabkan mereka melebihi had umur ditetapkan.

Beliau berkata, ada beberapa imam muda turut ditamatkan perkhidmatan atas faktor tertentu yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Ini adalah peraturan yang sudah ditetapkan dalam enakmen negeri dan jika ada yang masih menjadi imam meskipun sudah terlebih umur, itu adalah kuasa MAIPs yang menentukannya atas faktor budi bicara.

“Mereka (imam) yang berkata bahawa mereka diberhentikan atas faktor membaca qunut dan sebagainya adalah tidak betul kerana terdapat juga sebilangan yang dipecat patuh mengikut arahan yang dikeluarkan MAIPs dan Jabatan Mufti Perlis.

“Kenapa mereka (imam yang patuh) turut dipecat? Kerana umur sudah lebih, bagilah peluang kepada anak-anak hafiz dan yang muda berkelulusan agama peluang berbakti kepada agama di negeri ini,” katanya dalam kuliah khas di Masjid Alwi, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, dilaporkan seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (JAIPs) berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

Mengulas lanjut mengenai isu pemecatan itu, Mohd Asri berkata, terdapat juga imam muda yang dipecat daripada kalangan 25 imam terbabit mempunyai masalah disiplin.

“Mereka dipecat kerana cenderung membawa isu kepartian politik ke dalam jawatankuasa masjid. Ini boleh dilihat apabila mereka menjemput penceramah yang cenderung dalam politik hadir memberi ceramah di dalam masjid.

“Kita sudah maklumkan, masjid di negeri ini mesti bersih dari politik. Itu belum dikira jika imam terbabit menjadi punca rungutan masyarakat kampung atas masalah disiplin yang dilakukan mereka,” katanya.

Mohd Asri berkata, isu hilang jawatan adalah biasa di dunia ini dan ia bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Perdana Menteri pun boleh hilang jawatan ketika memerintah dan presiden parti politik pun ditolak daripada menjawat jawatan mereka.

“Apatah lagi jawatan Imam Masjid yang dianggap orang ramai sebagai jawatan yang sekadar saja,” katanya.

5851 dibaca
Berita Harian X