Khamis, 3 Januari 2019 | 4:09pm
ROZITA Kamil

Yuran Taska di NS naik 10 peratus

SEREMBAN: Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di negeri ini, dijangka menaikkan yuran kira-kira 10 peratus secara berperingkat, bagi menampung pelbagai kos yang semakin meningkat.

Presiden Persatuan Pengusaha Taska Negeri Sembilan, Rozita Kamil, berkata ketika ini masih ada Taska di kawasan tertentu, yang menawarkan yuran rendah iaitu kurang daripada RM400.

Bagaimanapun, katanya, bermula tahun ini, pengusaha Taska perlu menaikkan yuran bulanan dan tahunan sesuai dengan perkhidmatan dan persekitaran yang ditawarkan.

“Banyak kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha Taska termasuk kenaikan gaji pekerja selepas gaji minimum ditetapkan, kos operasi dan sewa premis, menyebabkan yuran juga perlu dinaikkan bagi menampung keperluan.

“Walaupun yuran dinaikkan, kualiti juga akan terus ditingkatkan termasuk menyediakan makanan yang sihat serta kurikulum yang dirancang dan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rozita berkata, kos operasi yang dimaksudkan termasuk menyediakan peralatan mainan di luar premis dan membeli bahan pendidikan sesuai dengan peringkat umur dan perkembangan.

“Ibu bapa juga harus peka dengan aktiviti yang dijalankan di Taska dan sentiasa membabitkan diri supaya perkembangan anak meningkat dengan baik tanpa menyerahkan sepenuhnya tugas itu kepada pendidik Taska,” katanya.

Mengenai tindakan pengasuh kanak-kanak yang difahamkan mahu menaikkan yuran seperti Taska, Rozita berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan, namun mereka perlu berdaftar dengan JKM.

Katanya, pengasuh juga perlu mengikuti Kursus Asuhan Permata supaya dapat memberikan perkhidmatan lebih baik, sekali gus mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini.

“Justeru, ibu bapa perlu bijak membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak dengan memilih untuk menghantar anak ke Taska berdaftar atau pengasuh yang tidak bertauliah,” katanya.

Rozita turut mencadangkan kepada kerajaan supaya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Taska berdaftar, diberikan rebat dalam bentuk baucar bernilai RM300.

Katanya, rebat itu bertujuan menggalakkan ibu bapa supaya hanya memilih Taska yang berkualiti dan mampu menawarkan pendidikan terbaik untuk anak mereka.

“Persatuan turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada pengusaha Taska yang berdaftar dengan JKM bagi menggalakkan lebih banyak Taska berdaftar,” katanya.

Berita Harian X