Rabu, 2 Januari 2019 | 2:35pm
MOTOSIKAL elektrik menarik perhatian ramai di Taman Botanikal, Ayer Keroh. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Tunggang 'Hally Davidson' masuk Taman Botanikal

AYER KEROH: Motosikal elektrik dinamakan ‘Hally Davidson’, antara yang mencuri tumpuan pengunjung ketika meneroka keindahan alam flora dan fauna di Taman Botanikal, di sini.

Motosikal itu menjadi pilihan pengunjung berikutan keistimewaan reka bentuknya persis motosikal berkuasa tinggi terkenal, Harley-Davidson, selain kenderaan mesra alam itu mudah dikendalikan dan ringan seperti sebuah basikal.

Pembantu operasi syarikat Zizisla Enterprise, Mahadir Md Taib, berkata sebanyak 60 motosikal elektrik disediakan kepada pengguna, dengan kadar sewa RM25 hingga RM40 untuk setengah jam.

Katanya, pengguna bebas meneroka kawasan hutan rekreasi terbabit di laluan yang disediakan, selain mudah untuk mengawal kelajuan tanpa bunyi bising.

“Tempoh 30 minit menunggang Hally Davidson sudah memadai buat pengguna meneroka keindahan Taman Botanikal dan melihat pelbagai habitat semula jadi hutan rekreasi ini.

“Pelbagai jenis motosikal elektrik disediakan termasuk spesifikasi bagi kegunaan individu berdua, bertiga serta membawa kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Taman Botanikal, hari ini.

Mahadir berkata, aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan termasuk menyediakan topi keledar dan jaket keselamatan.

Rakannya, Nurazizi Hasan, 25, berkata menunggang motosikal berkenaan amat menyeronokkan berikutan ia selesa, ringkas dan pantas.

Katanya, orang ramai boleh melihat sendiri taman dinasour, jambatan gantung, pelbagai jenis pokok dan spesies haiwan, burung serta rama-rama yang menarik.

235 dibaca
Berita Harian X