Isnin, 24 Disember 2018 | 4:26pm
Nanas MD2 akan ditanam di negeri ini bagi menambah pendapatan peneroka sementara menunggu proses tanam semula kelapa sawit. - Arkib NSTP

Nanas MD2 akan ditanam di Kelantan

KOTA BHARU: Nanas Milie Dilard 2 (MD2) akan ditanam di negeri ini bagi menambah pendapatan peneroka sementara menunggu proses tanam semula kelapa sawit.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman, berkata Kelantan dikenal pasti sebagai negeri yang berpotensi dijalankan penanaman Nanas MD2 selain Felda Sungai Tengi, Selangor.

Katanya, LPP diberi mandat bagi melaksanakan projek segera itu dengan bantuan beberapa agensi kerajaan lain yang terbabit.

“Mekanisme ini membolehkan peneroka dan peserta yang berkaitan mempunyai pendapatan sampingan yang boleh menjana pendapatan sementara menunggu proses penanaman semula.

“Kami mengenal pasti tanaman yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh yang cepat iaitu tidak sampai setahun dan nanas adalah yang terbaik,” katanya pada sidang media di pejabat LPP negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, dua kawasan di negeri ini yang dikenal pasti akan dijalankan penanaman Nanas MD2 adalah di Tanah Merah dan Rantau Panjang.

Katanya, selain Nanas MD2, pihaknya akan mencadangkan beberapa tanaman lain, antaranya jagung, pisang dan betik.

“Nanas MD2 mempunyai pasaran yang besar di negara luar, terutama di China yang sudah banyak mengimport dari Johor.

“China mempunyai populasi penduduk yang ramai iaitu kira-kira 1.4 bilion dan Johor mengeksport nanas MD2 dalam kuantiti yang besar ke sana,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan banjir kepada petani dan pesawah di negeri ini, Mazlan berkata, pihaknya belum menerima senarai penerima berhubung perkara itu.

Beliau berkata, LPP akan mengenal pasti bentuk kerosakan yang dialami, sekali gus memperuntukkan bantuan bagi meringankan kerugian mereka.

520 dibaca
Berita Harian X