Khamis, 20 Disember 2018 | 11:53am
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Hamden Mohammad. - Foto Nur Farizah Boman

Daging buaya katak berpotensi dieksport

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mempunyai visi menjadikan daging buaya katak sebagai makanan eksotik, termasuk potensi mengeksport daging itu ke luar negara.

Bagaimanapun, visi itu dilihat sedikit ‘terjejas’ selepas ada bantahan dibuat badan bukan kerajaan (NGO), yang mahu reptilia itu kekal dilindungi.

Pengarahnya, Hamden Mohammad, ketika mengesahkan perkara berkenaan, berkata tidak cukup dengan itu, tindakan penakaian atau ‘culling’ buaya katak turut berdepan situasi sama, di mana ada juga NGO melakukan bantahan.

“Perkara bantahan dikemukakan NGO berkenaan memang kami ambil maklum, namun negara ini bernasib baik kerana kita tidak mempunyai NGO pencinta alam yang terlalu ekstrim sehingga menggambarkan hak haiwan adalah sama dengan hak manusia.

“Pemburuan buaya katak bukan dibuat sewenang-wenangnya dan ia tertakluk kepada ordinan hidupan liar. Reptilia berkenaan boleh diburu sekiranya populasi semakin meningkat sehingga mengundang ancaman kepada manusia,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Hamden ketika mengulas lanjut, berkata antara NGO menentang pemburuan buaya adalah Sahabat Alam Malaysia.

“Baru-baru ini di Kuching, ada pameran makanan membabitkan daging buaya katak dipanggang. Ada NGO tidak berpuas hati kerana buaya dipanggang secara terbuka...mereka tidak bersetuju,” katanya.

Daging buaya katak mempunyai nilai ekonomi tinggi, selain diklasifikasikan sebagai makanan eksotik terutama di luar negara.

“Pemburuan buaya untuk dibunuh tidak dilaksanakan di Sarawak sahaja, malah negara lain juga melakukan perkara sama dalam ruang lingkup undang-undang masing-masing. Walaupun kita memberi permit untuk memburu buaya, namun ia tidak mengancam populasi buaya di negeri ini,” katanya.

539 dibaca
Berita Harian X