Selasa, 18 Disember 2018 | 10:12am
Seramai 33 penduduk dari tujuh keluarga ketika dipindahkan di Pusat Perpindahan di Surau Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, kelmarin. - Foto Rosli Ilham

6 PPS di Setiu, Kuala Nerus ditutup

KUALA TERENGGANU: Seramai 167 mangsa banjir yang ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dekat Kuala Nerus dan Setiu dibenarkan pulang apabila banjir yang melanda kawasan perumahan mereka mulai reda.

Cuaca baik di hampir seluruh negeri ini mendorong penurunan air banjir yang melanda di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu.

PPS terakhir yang ditutup di Setiu adalah pada jam 8.15 pagi tadi manakala difahamkan penduduk dan anggota keselamatan di PPS SK Tok Jembal sedang bergotong royong membersihkan pusat pemindahan mereka sebelum dijangka tutup sepenuhnya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, setakat jam 9.45 pagi ini seramai 853 mangsa daripada 218 keluarga masih lagi berlindung di lapan PPS dalam daerah Kuala Terengganu dan Marang berikutan kampung mereka masih ditenggelami air.

Daripada jumlah itu, 552 mangsa daripada 141 keluarga masih ditempatkan di empat PPS dekat Marang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang; SK Bukit Gasing; SK Pasir Puteh dan SK Rusila.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seramai 301 mangsa daripada 77 keluarga masih lagi ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Chendering; SK Gong Tok Nasek; SK Atas Tol dan Dewan Sivik Kampung Tanjung Paya.

Keadaan ini dijangka semakin pulih berikutan cuaca baik dilaporkan di hampir keseluruhan kawasan terjejas menjelang tengah hari ini.

Berita Harian X