Ahad, 16 Disember 2018 | 1:51pm
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kumpulan penculik dikenal pasti, polis sedang pantau

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang memantau pergerakan kumpulan yang menculik tiga nelayan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, pada 6 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kumpulan terbabit dan sedang memantau pergerakan mereka.

“Pasukan keselamatan sedang menyiasat termasuk memantau pergerakan kumpulan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai sebarang panggilan telefon yang terbaru daripada kumpulan terbabit, Omar berkata, buat masa ini belum ada panggilan telefon daripada kumpulan terbabit.

“Hanya tempoh hari isteri salah seorang mangsa menerima panggilan daripada kumpulan itu dan memberitahu suaminya diculik.

“Itu sahaja panggilan telefon daripada kumpulan terbabit dan sehingga kini kita belum menerima apa-apa panggilan,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mereka.

Pada 5 Disember lalu juga, jam 6.30 pagi, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 kru warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Seorang tekong Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat.

311 dibaca
Berita Harian X