Sabtu, 15 Disember 2018 | 1:02pm
GAMBAR fail, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. - Foto Nadim Bokhari

Jangan abaikan pendidikan, kemahiran OKU

KUCHING: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya sebuah sekolah vokasional khas bagi melatih golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan kemahiran tertentu yang mampu membantu kehidupan mereka.

Berikutan itu, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan bagi tujuan berkenaan. Ini juga bagi memastikan golongan OKU tidak tercicir dalam bidang pendidikan dan kemahiran.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya akan mencadangkan perkara itu bagi memenuhi keperluan ibu bapa, terutama kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.

“Kita difahamkan Kementerian Pendidikan dalam proses pengumpulan maklumat dengan melantik jawatankuasa khas untuk melihat keperluan pendidikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pameran Lukisan Kanak-kanak Autistik dan Kesedaran Masyarakat Terhadap Kanak-kanak Autistikdi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini semalam.

Fatimah ketika mengulas lanjut, permohonan itu juga membabitkan guru yang berdedikasi, sokongan ibu bapa kumpulan, persatuan serta pengamal kesihatan secara sukarela.

“Keperluan ini juga pernah disuarakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan dulu.

“Kita berharap agar permohonan ini akan diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sebanyak 72 lukisan kanak-kanak autism dipamerkan pada majlis berkenaan, selain sesi perkongsian dari ibu bapa yang mempunyai anak-anak autism.

Berita Harian X